Followers

Tuesday, 22 November 2011

GAMBAR Press Conference Ruth Sahanaya Di Kuala Lumpur 17 Disember 2011

 Sempena meraikan ulangtahun ke 25 sebagai penyanyi, Ruth Sahanaya bakal mengadakan konsert sulungnya di Malaysia yang diberi nama Konsert 25 Tahun Ruth Sahanaya. Konsert yang dijadualkan pada 17 Disember hadapan ini adalah siri jelajah yang bermula di Jakarta pada 25 November tahun lalu. Sebelum menghiburkan peminat Malaysia di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur , Ruth telah pun singgah di Singapura pada 10 Jun lalu.
Berbicara tentang konsert solonya itu, Ruth yang ditemui selepas sidang media konsertnya itu memberitahu dia berasa cukup gembira kerana akhirnya impiannya untuk mengadakan konsert solo secara besar-besaran di sini tercapai. Jelas penyanyi yang mula berkarya pada tahun 1987 ini, dia cukup menghargai peminat di sini kerana kejayaannya selama ini turut disokong oleh peminat Malaysia.
“Malaysia selalu dekat di hati saya dan kerana itu saya mahu mengadakan konsert solo di sini. Jika tidak, rasanya tidak lengkap perjalanan seni saya selama 25 tahun ini. Saya mahu konsert ini menjadi tempat untuk peminat sama-sama berhibur dan menyanyi bersama saya. Ini adalah tanda penghargaan dan hadiah buat peminat.
Sepanjang dua jam setengah masa konsert nanti, saya akan menyampaikan 30 – 34 buah lagu kesemuanya. Lagu-lagu ini dipetik daripada 15 buah album terdahulu dan sudah pasti ia menceritakan perjalanan seni saya selama ini. Saya tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi untuk konsert ini. Harapan saya agar peminat di Malaysia terhibur dan itu sudah cukup untuk membuatkan saya gembira,” ujar Ruth yang pernah membuat persembahan di Midnight Sun Song Festival di Finland pada 1992.
Ditanya bagaimana dia menjauhi gosip-gosip liar, Ruth hanya menjawab ringkas, “Saya menjadi diri sendiri. Tidak ada sandiwara. Penampilan saya di pentas, sama dengan penampilan saya di rumah,” ujar Ruth.
Buat peminat yang mahu menyaksikan Konsert 25 Tahun Ruth Sahanaya, tiket-tiket boleh dibeli pada harga RM1500 (VVIP) RM788, RM588, RM388, RM128 di www.ilassotickets.com dan di semua cawangan Rock Corner. Anda juga boleh menghubungi hotline  03 -7957 6088.
Ruth turut mengundang Datuk Khatijah Ibrahim untuk sama-sama menghangatkan konsert yang dibawakan oleh A’caralis Kuala Lumpur Sdn. Bhd itu. Sebahagian daripada hasil jualan tiket akan didermakan kepada beberapa badan kebajikan seperti Yayasan Sultanah Bahiyah, Yayasan Anak Yatim Sultanah Haminah, dan Tabung Kolej Sultan Abdul Hamid.

Ruth Sahanaya

Dato Khatijah Ibrahim


Ruth Sahanaya, Dato Khatijah Ibrahim

Ruth Sahanaya, Dato Khatijah Ibrahim

Ruth Sahanaya

Ruth Sahanaya, Dato Khatijah Ibrahim

Pose istimewa Ruth Sahanaya untuk GreyredPhotography



Ruth Sahanaya, Dato Khatijah Ibrahim

GAMBAR Press Conference Teater Semerah Padi











Selepas 50 tahun berlalu, nostalgia Semerah Padi dilahirkan kembali dalam bentuk teater dan bakal dipentaskan Keno Productions di pentas seni berprestij, Istana Budaya (IB) sekitar Disember nanti.

Pengurus Keno Productions dan Penerbit Eksekutif Semerah Padi, Megat Mohd Noor Salleh Ghani atau Keno berkata, dia mendapat idea untuk mengadaptasi filem Semerah Padi ke pentas kerana tertarik dengan kehebatan filem itu.

“Arwah ayah saya, Salleh Ghani adalah pengarah dan penulis skrip yang sering bergaul dengan artis, pengarah dan penggiat filem yang sezaman dengan P Ramlee.
Saya juga kenal P Ramlee ketika beliau masih hidup kerana sering mengikut arwah ayah bekerja.

“Saya masih ingat lagi, saya panggil P Ramlee ‘uncle’ dan bertanya apa maksud P pada awal namanya itu. P itu rupa-rupanya ada maksud yang banyak iaitu pelakon, penyanyi, pengarah dan penggubah lagu dan sebagainya,” katanya.

Keno akui filem Semerah Padi mempunyai keistimewaan dan kekuatan tersendiri sama seperti filem Melayu klasik lain.

“Selepas kejayaan pementasan Sri Mersing, saya juga percaya rugi kalau filem sehebat Semerah Padi tidak diangkat ke pentas teater. Saya juga sedar buat teater tidak menguntungkan seperti perniagaan lain, tapi misi utama saya adalah untuk mengangkat filem klasik Jalan Ampas ke IB.

“Pementasan Semerah Padi ini bakal menjadi sejarah dalam pementasan teater tanah air dan mengimbau kenangan sebuah filem klasik yang hebat.

“Saya harap dapat menarik bukan saja peminat teater tempatan, tapi juga termasuk dari Singapura dan Brunei Darussalam. Tambah membanggakan, Sultan Pahang juga sudi menjadi penaung kepada teater Semerah Padi ini,” katanya.

Berkongsi mengenai kos pementasan pula, kata Keno, teater itu membabitkan kos mencecah RM1.5 juta.

“Saya juga berharap, banyak pihak korporat dan VIP sudi menjadi rakan penaja teater ini untuk sama-sama memartabatkan dunia seni,” katanya.

Mengulas kriteria pemilihan pelakon utama pula katanya, setiap pelakon punya aura mengikut watak asalnya.

“Saya melihat ‘sepet’ Zul Huzaimy mirip P Ramlee dan dia tepat untuk pegang watak utama Aduka yang bermukah dengan Dara. Saya juga nampak wajah Fauzi yang nakal itu memang kena dengan watak Taruna pula.

“Pihak kami juga ada beberapa cadangan untuk watak Dara, tapi kami ternyata wajah Jue Aziz nampak mirip seniwati Saadiah kerana wajahnya yang penuh kelembutan. Selain itu, kami bertuah kerana Fazlina iaitu anak kepada arwah Saadiah sudi memegang watak ibu kepada Dara,” katanya.

Keno ditemui pada sidang media di IB, baru-baru ini. Hadir sama, Ketua Pengarah IB, Mohamed Juhari Shaarani, Pengarah Muzik, Datuk Suhaimi Mohd Zain (Pak Ngah) dan pengarah teater itu, Rosdeen Suboh.

Secara peribadi, Rosdeen bertuah kerana diberi kepercayaan oleh Keno Productions untuk mengarahkan teater Semerah Padi selepas Sri Mersing.

Barisan pelakon yang turut beraksi ialah Tok Penghulu (Baharuddin Omar), Baby Erin (Galak), Bohari Ibrahim (Jejaka), Ikbal Hakim (Borek), Azlan Komeng (Kelana), Abu Bakar (Ayah Taruna), Azizah Mahzan (Ibu Aduka), Siti Habsah (Ibu Taruna) dan Zolkafli Komeng (Kachiwa).

Teater Semerah Padi bakal dipentaskan bermula 22 hingga 31 Disember nanti. Tiket untuk menyaksikan teater ini dijual pada harga RM30, RM50, RM80, RM150 dan RM200.

Keterangan lanjut mengenai teater ini boleh hubungi Box Offce IB di talian 03-40265558 atau secara online 03-41478600, www.ticket2u.biz atau www.istanabudaya.gov.my.